Senin, 24 Agustus 2009

Pameran foto di USM papar gadis separuh bogel dikesali

MINGGU lepas saya berkunjung ke Universiti Sains Malaysia (USM) melihat pameran pelajar di Galeri Adiwarna. Namun yang mengejutkan pameran itu adalah memaparkan gambar separuh bogel gadis tempatan.

Saya dan pengunjung lain sangat terkejut melihat foto yang dipamerkan. Ramai yang menggeleng kepala termasuk pensyarah apabila melihat foto berkenaan.

Persoalannya, bagaimana sebuah universiti boleh mempamerkan gambar gadis yang separuh bogel dengan menutup buah dada dengan tangan? Selain itu gambar lain pula memaparkan gadis terbaring bogel dengan hanya menutup badan dengan sehelai kain kecil yang jarang serta basah. Tidak habis di situ terdapat pula foto gadis yang sedang memakai seluar dalam. Gambar yang dipamerkan pula berpuluh-puluh jumlahnya.

Sungguhpun tajuk pameran itu adalah mengenai remaja yang berpakaian seksi, tetapi gambar yang dipamerkan tiada kena mengena dengan tajuk. Tiada titik pertemuan langsung di antara tajuk pakaian seksi dengan foto gadis telanjang. Apa yang lebih mengejutkan karya itu dihasilkan seorang guru wanita. Agak pelik juga kenapa guru berkenaan menghasilkan gambar sebegitu rupa.

Selain itu, dimaklumkan juga bahawa pameran seumpama itu bukan pertama kali diadakan sebaliknya pada penghujung tahun lepas, pameran sedemikian turut diadakan. Percaya atau tidak guru berkenaan mendapat markah penuh kerana seorang profesor begitu kagum dan berasakan karya itu adalah bersifat kontemporari.

Pada hemat saya sebagai seorang warga Malaysia, walaupun ingin berkarya tetapi tidaklah sampai menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. Kita sebagai orang timur dan beragama Islam seharusnya lebih peka dengan perkara begini.

Diharapkan USM dapat sekiranya menghentikan pameran itu kerana dimaklumkan juga akan ada pameran seumpama itu lagi dalam masa terdekat.

MOHD JAMAL,
Kuala Lumpur.
Berita Harian.